Assalamualaikum dan salam Aidilfitri kepada semua pengunjung blog AFIZART. Macamana sahabat semua? Masih lagi dalam bulan Syawal, sudah pasti kita semua masih dalam mood berhari raya kan? Sahabat dah berpuasa sunat 6 Syawal? Idah belum lagi, insya Allah minggu ni nak pulun kasi perabih. Ramadan cepat sangat berlalu.
Puasa sunat 6 Syawal ni banyak kelebihannya. Jom sama-sama laksanakannya ye sahabat, insya Allah! Dibawah adalah artikel yang Idah copy paste daripada posting FB Ustazah Asma' Harun. Semoga bermanfaat.
5 KELEBIHAN BAGI MEREKA YANG BERPUASA 6 SYAWAL
Sahabat, dalam kita menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan, rebut juga peluang untuk meraih satu amalan sunat setelah tibanya Syawal iaitu dengan berpuasa enam. Meski puasa ini bukan amalan ibadah wajib seperti puasa Ramadan, namun kelebihan puasa ini dianggap sebagai puasa setahun penuh.
Mazhab Syafie menyatakan bahawa puasa enam merupakan ibadah SUNAT sepanjang Syawal tidak kira sama ada dilakukan secara berturut-turut atau berpisah.
Hal ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
Maksudnya: “Ulama Mazhab Syafie menyatakan: Yang paling afdal (lebih baik) dalam melaksanakan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Aidil Fitri.
Jika tidak berturut-turut, (misalnya sehari berpuasa dan dua hari kemudian tidak berpuasa, kemudian sambung berpuasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal) atau melewatkannya hingga ke hujung bulan, maka itu juga turut mendapat kelebihan al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi) kerana ia benar-benar berniat untuk menyambung enam hari di bulan Syawal.”
Sepertimana hadis yang dinyatakan di awal tadi, dengan berpuasa enam menjadikan kesemua puasa Ramadan dan juga enam hari pada bulan Syawal menyamai puasa selama setahun;
Nabi S.A.W bersabda;
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal sepertinya dia berpuasa selama setahun.”
(Riwayat Imam Muslim)
2) MENYEMPURNAKAN KEKURANGAN IBADAH PUASA DI BULAN RAMADAN
Hal ini kerana amalan sunat melengkapkan amalan fardu, sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama yang dihitung bagi manusia di hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak, maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika amalan fardunya ada yang kurang, maka Rabb 'Azza wa Jalla berfirman, “Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang?" Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
3) DISEDIAKAN PINTU SYURGA BERNAMA AR-RAYYAN
Allah SWT juga menyediakan satu pintu syurga khas iaitu pintu al-Rayyan bagi mereka yang melazimi ibadah puasa.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ، يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، لَا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ، يُقَالُ: أَيْنَ الصَّائِمُونَ؟ فَيَدْخُلُونَ مِنْهُ، فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ، أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti ada pintu dinamakan al-Rayyan, yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: Di mana orang-orang berpuasa? Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
4) DAPAT MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH SWT
Dalam satu Hadis Qudsi, Allah S.W.T berfirman;
وما تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبدي بِشيءٍ أحبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عليهِ، وما زالَ عَبدي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حتى أُحِبَّهُ، فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يسمعُ بهِ، و بَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ بهِ، و يَدَهُ التي يَبْطِشُ بِها، و رِجْلَهُ التي يَمْشِي بِها، و إنْ سألَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ
“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan senantiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”
(Riwayat al Bukhari)
5) MELATIH DIRI UNTUK ISTIQAMAH MELAKUKAN KEBAIKAN WALAU BERLALUNYA RAMADAN
Daripada Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل
Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan walaupun sedikit.”
(HR Muslim, hadis sahih)
🌷 NIAT PUASA ENAM🌷
• Niat Puasa Enam Sahaja
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”
• Niat Puasa Qada (Ganti) dan Puasa Enam Syawal
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ قَضَاءٍ فَرْضَ رَمَضَانً وَصَوْمَ شَوَّالْ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa ganti Ramadan yang wajib ke atas diriku beserta puasa sunat Syawal pada esok hari, kerana Allah Taala.”
🌷 ANTARA TARIKH CADANGAN PUASA ENAM YANG BOLEH DIPILIH UNTUK TAHUN INI 🌷
1. 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal (Isnin)
2. 27 April 2023 bersamaan 6 Syawal (Khamis)
3. 01 Mei 2023 bersamaan 10 Syawal (Isnin)
4. 04 Mei 2023 bersamaan 13 Syawal (Hari Putih+ Khamis)
5. 05 Mei 2023 bersamaan 14 Syawal (Hari Putih)
6. 06 Mei 2023 bersamaan 15 Syawal (Hari Putih)
7. 08 Mei 2023 bersamaan 17 Syawal (Isnin)
8. 11 Mei 2023 bersamaan 20 Syawal (Khamis)
9. 15 Mei 2023 bersamaan 24 Syawal (Isnin)
10. 18 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal (Khamis)
Pada tarikh-tarikh ini berhimpunnya fadilat-fadilat berikut, iaitu:
1. Puasa 6 Syawal
2. Puasa Isnin dan Khamis
3. Puasa Hari Putih
Walau bagaimanapun, puasa enam boleh dilaksanakan pada bila-bila masa di bulan Syawal melainkan 1 Syawal, dan tarikh-tarikh ini hanya sekadar cadangan sahaja.
Mudah-mudahan kita berjaya memperoleh ganjaran kebaikan daripada amalan ini.
Rujukan:
1. Kitab Sahih Muslim
2. Kitab Syarah Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi
3. Artikel Mufti Wilayah Persekutuan
https://muftiwp.gov.my/.../1327-irsyad-al-fatwa-ke-120...
Semoga bermanfaat buat semua.
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.
ASMA' BINTI HARUN & TIM PENYELIDIKAN
#UAHSahabatDuniaAkhirat
No comments:
Post a Comment