Friday 17 May 2024

"Tolong bagi kata-kata semangat sikit untuk umi," Jom Baca Perkongsian Ibu Ini

Penulisan yang menarik untuk direnung, diambil inputnya dan Idah nak kongsikan doa yang boleh diamalkan kepada anak-anak. Selain menjadi doa belajar, doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas ini juga dapat diamalkan ketika menghafal Al Quran atau hafiz Quran dan mendalami ilmu agama. Insya Allah.
اَللَّهُمَّ فَقِّهُّ فِي الدِّيْنِ وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
Allahumma Faqqihni fiidin wa ‘allimnii attakwiil
“Ya Allah, berilah kepahaman kepadanya dalam urusan agama dan ajarkan Takwil (tafsir Alquran).”

 
Perkongsian sahabat FB : Khadijah Mohamad Nor
Tarikh posting : 14 Mei 2024
 
Saya suka jika dapat berbual panjang dengan anak sulung, Muhammad Alawi kerana kata-katanya selalu berjaya menyejukkan hati. Baru-baru ini ketika membawanya keluar outing, saya sempat meminta nasihat daripadanya perihal rezeki. 
 
"Alawi, umi rasa macam nak kerja semula la sebab ada komitmen hutang yang belum selesai. Umi tak nak bebankan abi tanggung hutang umi," adu saya padanya.
  
"Tolong bagi kata-kata semangat sikit untuk umi," pinta saya lagi.
 
 
Dia hanya tersenyum simpul. Kemudian terus dia bacakan ayat 22 dan 23 surah Adz-Zariyyat yang bermaksud: "Dan di langit terdapat sebab-sebab rezekimu dan apa yang telah ditakdirkan kepadamu. "Maka demi Tuhan langit dan bumi, apa yang dijanjikan itu pasti terjadi seperti apa yang kamu ucapkan." Kemudian terus dia huraikan sedikit tafsiran mengenai ayat tersebut.
 
"Umi tahu tak kenapa Allah kata fis sama' sebab Dia nak menunjukkan bahawa tak ada makhluk pun yang dapat menguasai langit dan rezeki setiap makhluk itu hakikatnya memang daripada Allah. "Ayat seterusnya Allah cakap guna fawa Rabbi sama' yang bermaksud demi Tuhan langit. Kemudian innahu penguat ayat kembali pada ayat sebelum tadi tentang rezeki. 
 
 
"Maknanya macam mana kita cakap tentang rezeki, begitulah rezeki akan tetap datang. Selagi roh tidak melepasi kerongkong, selagi itulah rezeki kita sentiasa ada," jelas Alawi. 
 
 
Dia turut membawakan kisah seorang ulama nahu yang mengerjakan haji. Apabila beliau memasuki kota Mekah, ulama tersebut didatangi seorang lelaki tua yang menunggang unta. Kemudian lelaki tua itu bertanya kepada ulama tersebut, "Kamu berasal dari mana?" Lalu ulama tadi menjawab bahawa dia berasal dari sebuah kampung yang jauh dari kota Mekah. Lelaki tua itu kemudian meminta ulama tadi untuk membacakan kepadanya ayat-ayat Al-Quran. Lantas ulama tersebut membacakan Surah Adz-Zariyyat. Apabila sampai ayat ke-22, lelaki tua itu turun dari unta yang ditunggang lalu dia menyembelih untanya. 
 
 
Dia berbuat demikian kerana meyakini maksud Kalam Allah tersebut bahawa rezeki itu pasti ada buat semua makhluk-Nya. Lelaki tua itu kemudian mengagihkan semua daging unta miliknya kepada seluruh fakir miskin di sana. 
 
Masya-Allah, tabarakallah. 
 
 
Pada tahun berikutnya, ulama tadi menunaikan haji kembali dan bertemu lelaki tua yang sama. Dia kemudian meminta ulama tersebut menyambung bacaan yang tergantung pada tahun sebelumnya, lalu ulama itu menyambung ayat seterusnya iaitu ayat 23 surah Adz-Zariyyat. 
 
 
Apabila lelaki tua tersebut mendengar ayat yang dibacakan oleh ulama itu, tiba-tiba seluruh tubuhnya menggeletar seraya berkata dengan kuat مَا أَبْغَضَ الجَلِيلُ yang bermaksud: "Siapakah yang membuat Tuhan Yang Maha Mulia murka?" 
 
 
Persoalan itu dilontarkan kerana memikirkan siapa yang membuat Allah murka hingga Dia perlu berfirman menekankan ayat tersebut demi meyakinkan manusia bahawa rezeki itu pasti ada. Kemudian lelaki tua itu meracau dan tubuhnya terus menggeletar sehingga dia meninggal dunia. 
 
Allahu Rabbi. 
 
 
Menyambung perbualan, Alawi terus berpesan pada saya:
 
"Jadi, umi janganlah risau tentang rezeki. Kerana rezeki itu pasti ada daripada Allah kepada semua makhluk-Nya selagi roh kita tidak berpisah dari jasad. "Cukuplah kisah ini menjadi penguat untuk umi dan abi yakin sepenuhnya dengan rezeki daripada Allah kerana faedah itu tergantung kepada kepercayaan kita."
 
 
Allah ya Allah. 
 
 
Menitis air mata saya mendengar nasihat daripada Alawi. Walaupun saya tahu dan meyakini tentang hal-hal berkaitan rezeki, namun sebagai manusia harus diakui, tahap iman kita ada turun naiknya.
 
 
Justeru, apabila mendengar kalam nasihat yang baik, ia mampu memberi ketenangan dalam diri. 
 
 
Semoga kisah ini membawa manfaat buat kalian yang membacanya. Menulisnya pun saya sudah berlinangan air mata. 
 
 
Terima kasih Alawi atas ilmu yang dikongsi. Terima kasih juga buat Walid, Dato' Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin dan para asatizah Institut Imam Ahmad Ibn Idris yang telah mendidik anak-anak kami.
 
 
Umi hargai sangat-sangat. Doa umi semoga Alawi terus istiqamah di atas jalan penuntut ilmu hingga ke akhir hayat. Moga dengannya, umi dan abi dapat menumpang keberkatan kalian yang sentiasa dinaungi sayap-sayap para malaikat. 
 
 Semoga bermanfaat insya Allah.
 

No comments:

Post a Comment