Friday, 29 May 2009

Akal & Ilmu

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,


Orang tua tua kita dulu ada berkata: Ikut hati mati, ikut rasa
binasa dan ikut nafsu lesu, jadi kita kena ikut atau pakai apa? Kalau
ikut Pak Pandir dalam nyanyiannya dia suruh kita: " Ada akal pakai,
ada mata tengok , ada telinga dengar ." Jadi kita hendaklah
menggunakan akal kita.

Akal (dan ilmu yang berpandukan Al Quran dan sunnah )akan menjadi
sendi kemenangan dalam pertarungan jiwa sekiranya akal itu dapat
melihat,mengetahui sesuatu, dapat membezakan sesuatu dan dapat
menyedut sesuatu daripada ilmu yang kelak akan dapat digunakan untuk
mencapai tempat yang hampir dengan Allah, mengetahui kekuatan dan
kebesaran Allah.Inilah yang dimaksudkan dari firman Allah yang
bermaksud:

Sesungguhnya yang takut kepada Allah diantara hambaNya hanyalah
ulamak.(Surah Fatir Ayat 28)

Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kebesaran akal dengan sabdanya yang
bermaksud:Allah tidak menjadikan mahkluk yang lebih mulia dari akal.

Juga sabda Rasulullah s.a.w kepada Ali bin Abi Talib yang bermaksud;
Jika manusia menghampirkan diri kepada Allah dengan ( melakukan)
berbagai amal kebaikan , hampirkanlah diri kamu dengan Allah dengan
ilmu.

Juga sabdanya yang bermaksud:
Seseorang itu tidak mendapat sesuatu yang lebih dari keistimewaan akal
(kerana) akal itu membimbing tuannya kepada hidayat dan mengelakkannya
daripada perkara yang buruk.?

Oleh kerana itu Islam menggalakkan ilmu dan mendalami agama ,supaya
akal itu akan mengambil sesuatu yang dapat menolongnya dalam
membezakan antara yang baik dan jahat, antara hak dan batil.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan , Allah akan
memberikannya kefahaman dalam agama.

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud:
Kelebihan orang yang berilmu daripada orang yang hanya beribadat
samalah dengan kelebihanku daripada orang yang paling rendah di
kalangan sahabatku.

Akal mukmin yang sedar akan dapat membezakan antara baik dan
buruk,halal dan haram, maaruf dan mungkar kerana mukmin yang sedar
itu melihat perkara ini dengan cahaya dari Allah yang dapat melihat
sesuatu disebalik tutupan yang halus.

Firman Allah yang bermaksud:
Barangsiapa yang tidak diberi cahaya (pertunjuk) oleh Allah tiadalah
ia mempunyai cahaya walau sedikit pun.? (Surah An Nur Ayat 40)

Cahaya akal tidak dapat dipadamkan oleh sesuatu kecuali maksiat,kekal
dalam maksiat , terang- terang melakukan maksiat , kerana Rasulullah
s.a.w telah bersabda yang bermaksud:

Sesiapa yang melakukan dosa akal akan terpisah daripadanya dan tidak
akan kembali kepadanya buat selama lamanya.

Juga sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
Kalaulah tidak kerana syaitan itu sering berputar di sekeliling hati
anak-anak Adam nescaya mereka akan dapat melihat kerajaan langit dan
bumi. Semoga kita sama- sama menimba ilmu .Insya Allah.Yang baik dan
yang benar datangnya dari Allah dan yang salah dan silap datangnya
dari kelemahan saya sendiri .

Ini adalah petikan dari buku yang bertajuk : Apa ertinya saya
menganut ISLAM (Fathi Yakan) yang diterjemah oleh Ustaz Alias Othman
terbitan Pustaka Salam.

Wassalam.

From: Mariam.

No comments:

Post a Comment